Norizan : Bekas Permaisuri Menjadi Seniwati
Setelah bercerai dengan suami pertamanya yang merupakan seorang pegawai kastam, Norizan binti Mohd Noor memulakan kehidupan baharu dengan bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab restoran eksklusif di Telok Anson (kini Teluk Intan) sekitar tahun 1953. Kelab tersebut sering menjadi tumpuan golongan bangsawan, pegawai-pegawai British, dan kerabat Diraja, termasuklah Sultan Perak ketika itu, Sultan Yussuff Izzuddin Shah, ayahanda kepada Almarhum Sultan Azlan Shah.
Dengan rupa paras yang anggun berkulit cerah, susuk tubuh yang tinggi lampai, dan perwatakan yang peramah, Norizan sering menjadi tumpuan di kelab tersebut dan menjadikannya bintang dalam kalangan pengunjung. Pesonanya telah menambat hati Baginda Sultan, yang kemudiannya melamar Norizan sebagai isteri ke-4. Tuah benar-benar datang bergolek buat Norizan apabila mereka diijabkabulkan pada awal tahun 1954 dan beliau dikurniakan gelaran Tengku Permaisuri Perak. Norizan mula bersemayam di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dan disayangi ramai termasuk golongan pekerja istana yang mesra memanggilnya “Che’ Zan”.
Namun, jodoh beliau bersama Sultan tidak panjang. Mereka bercerai secara baik sebelum genap setahun perkahwinan. Sejurus selepas tamat tempoh iddah, dunia hiburan tanah air digemparkan apabila Norizan berkahwin dengan seniman terulung waktu itu, P. Ramlee, pada 8 Februari 1955 hanya beberapa minggu selepas penggambaran filem Hang Tuah diselesaikan.
Perkahwinan ini membawa sinar dalam kehidupan seni P. Ramlee termasuklah lagu 'Berkorban Apa Saja' dari filem Hang Tuah yang diciptakan khas buat Norizan.
Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, P.Ramlee meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat Asia:
1956 – Anugerah Muzik Terbaik Asia untuk Hang Tuah,
1957 – Pelakon Lelaki Terbaik Asia untuk Anak-Ku Sazali,
1958 – Fotografi Terbaik Asia untuk Sumpah Orang Minyak,
1959 – Filem Komedi Terbaik Asia untuk Pendekar Bujang Lapok,
1960 – Filem Komedi Terbaik Asia sekali lagi untuk Nujum Pa’ Blalang.
Namun, segala yang manis tidak kekal selamanya. Perkahwinan mereka berakhir pada 16 Oktober 1961, selepas 6 tahun 8 bulan bersama. Dan hanya beberapa hari selepas perceraian itu, P. Ramlee sekali lagi mencetuskan sensasi apabila mengahwini biduanita negara, Saloma, pada 21 Oktober 1961. Perkahwinan pasangan popular ini menjadi tajuk utama dalam dunia hiburan pada ketika itu.
Tatkala perhatian terhadap Ramlee dan Saloma mulai surut, Norizan pula mencipta kejutan apabila berkahwin dengan pelakon dan penyanyi terkenal, Abdullah Chik, pada 28 Januari 1962 di Kuala Lumpur. Ini merupakan perkahwinan ke-4 bagi Norizan, dan yang ke-3 bagi Abdullah Chik.
Namun, jodoh mereka juga tidak panjang dan berakhir dengan perceraian pada 29 Mei 1963. Menariknya, sepuluh tahun kemudian, pada tarikh yang sama 29 Mei 1973, Tan Sri P. Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya.
Norizan binti Mohd Noor kembali ke rahmatullah pada 15 Mei 1992 dalam usia 65 tahun. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.
Teks : Era Azman, Hidir Ali Razali & Danial Aziz Ahmad
Gambar: Norizan di kediaman beliau bersama P.Ramlee di Macpherson Road, Singapura berlatarbelakang piano P.Ramlee berjenama Herrburger Brooks.
Sumber :
Utusan Film & Sports
Filem Raya
Bulanan Arena Film
0 Ulasan